SEMASA

Undi 18: Malaysia Cipta Sejarah Baharu

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Malaysia mencipta sejarah baharu hari ini dengan lulusnya pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu memperoleh masing-masing sokongan 211 daripada 222 ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagi dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ketika mengumumkan perkara itu berkata tiada ahli Parlimen yang tidak bersetuju dan tidak mengundi.

"Tahniah, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan tahniah kepada semua ahli Dewan kerana melakar sejarah hari ini iaitu tepat setahun Parlimen ini bersidang,"  katanya.

Sebelum itu, pindaan itu dibahaskan lebih 60 ahli Parlimen kira-kira enam jam selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membentangkannya untuk bacaan kali kedua pada 12 tengah hari tadi.

Selain menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Terdahulu, ketika membentangkan rang undang-undang, Dr Mahathir berkata beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 perlu dibuat bagi melaksanakan dan menguatkuasakan pindaan berkenaan.

Selain itu, bagi membolehkan penurunan had umur calon Dewan Undangan Negeri dilaksana, kerajaan negeri juga perlu membuat pindaan terhadap peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Negeri atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing.

Dr Mahathir berkata kerajaan turut mengalu-alukan cadangan blok pembangkang yang bersetuju belia berumur 18 bukan sahaja diberi hak mengundi tetapi juga menjadi calon pilihan raya dan komitmen blok pembangkang sebelum ini untuk menyokong pindaan berkenaan.

Kerajaan menjangkakan seramai 7.8 juta pengundi baharu dimasukkan ke dalam daftar pemilih setiap tahun sehingga tahun 2023.

Dianggarkan jumlah pengundi pada tahun 2023 akan meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14, tahun lepas.

Kongsikan: